Wednesday 6 July 2011

Liga Super 2011: Tahniah Kelantan!

Kelantan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2011 selepas menundukkan Sabah 2-1 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi. Kelantan bermula garang apabila Norshahrul Idlan mengegar kubu lawan dengan jaringan gol seawal 10 minit pertama apabila Norshahrul Idlan berjaya menjaringkan gol dengan tonjolan mudah menerjah masuk ke gawang gol pasukan Sabah. Benteng pertahanan Sabah kemudiannya terus diasak oleh pasukan Kelantan dalam usaha memburu lebih gol sedangkan mereka hanya perlu seri untuk memenangi liga.

Pada separuh masa kedua, Kelantan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-71, juga hasil dari jaringan cantik Norshahrul Idlan yang menyepak lencong bola meluru masuk ke gawang gol pasukan Sabah. Sabah merapatkan kedudukan apabila satu gol berjaya dijaringkan penyerang berbisa Sabah, Razlan Oto yang ditukarkan masuk mengantikkan rakannya untuk menguatkan bahagian hadapan. Sabah banyak mendominasi permainan pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkan peluang hingga ke wisel penamat, sekaligus mengesahkan kejuaraan Kelantan untuk Liga Super kali ini.

Sementara itu, Abdul Hadi Yahya dinobatkan sebagai pemilik anugerah kasut emas setelah berjaya mengumpul 20 gol sepanjang kempen Liga Super, menewaskan Norshahrul Idlan Talaha yang hanya kekurangan 1 gol setelah menjaringkan dua gol yang cukup bermakna bagi pasukan Kelantan. Hadi mengakhiri liga dengan menjaringkan 4 gol untuk menewaskan Felda United 6-2.

Selangor terpaksa akur dan perlu berpuas hati sekadar menduduki tempat ketiga setelah seri tanpa jaringan dengan Perak. Pahang dan Perlis dijangka akan tersingkir dari Liga Super selepas menduduki tempat kedua terakhir dan terakhir liga dengan masing-masing tewas pada perlawanan akhir. Kemenangan pasukan Kelantan sangat bermakna kepada penyokong The Red Warriors setelah tewas kepada Terengganu yang berjaya merampas Piala FA 11 Jun yang lalu.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan akhir dan kedudukan akhir kempen Liga Super 2011:



Tahniah Kelantan, jumpa lagi di Piala Malaysia dan Liga Super musim hadapan.

No comments:

Post a Comment