Wednesday 3 August 2011

Perseid 2011: Apabila Bulan Mengambang

Dah lama tak update blog pasal hujan meteor. Apa tu hujan meteor? Pernah dengar orang cakap tahi bintang? Itu bahasa pasarnya sementara bahasa standard pula orang kata meteor. Maknanya hujan meteor tu banyaklah meteor jatuh. Kali ni kita cerita tentang hujan meteor Perseid.



Perseid mendapat nama berdasarkan tempat di mana meteor tu muncul, iaitu di buruj Perseus (lihat gambar). Meteor ini terjadi apabila bumi melintasi kawasan sisa-sisa debu ekor komet 109P/Swift-Tuttle yang kemudiannya masuk ke atmosfera bumi sebagai meteor. Kadar Perseid pada tahun ini dijangka memuncak pada 11 hingga 13 Ogos namun malangnya pada masa itu, bulan pun dah sampai ke fasa penuhnya. Ini sedikit sebanyak mengganggu penglihatan dan mengurangkan jumlah meteor Perseid yang kita boleh nampak dengan jelas apabila dia muncul, kecuali meteor yang betul-betul terang. Apa nak buat? Tak perlu risau, hujan meteor Perseid sebenarnya bermula dari pertengahan Julai lagi. Kalau tak dapat tengok pada waktu kemuncak, apa kata kita mula dari sekarang. Cuba renung ke langit pada malam ini sehinggalah pada waktu kemuncak, dan kalau rajin boleh tulis dalam buku nota anda berapa banyak meteor yang muncul pada malam-malam tersebut. 10 malam pertama bulan Ogos adalah waktu terbaik kerana bulan akan mula bergerak ke fasa penuh selepas itu. Pastikan langit anda betul-betul gelap, tiada gangguan cahaya lain dan mata anda telah disesuaikan dalam keadaan gelap lebih kurang 15 minit.

Hujan meteor Perseid adalah antara hujan meteor terbesar selain hujan meteor Geminids, Lyrids, Orionids,  dan lain-lain. Ia juga memuncak beberapa minggu selepas hujan meteor Delta Aquariids memuncak pada 29 Julai tahun ini. Tak perlulah bercakap panjang, cuba cari lokasi sesuai dan lihat sendiri keajaiban yang dicipta dan diatur oleh yang Maha Kuasa kepada kita ini. Mudah-mudahan kita beroleh sesuatu yang bermanfaat darinya. Dan tak lupa juga, anda boleh lihat 9 singgahan Bulan sepanjang bulan Ramadhan atau bulan Ogos ini, hasil dari kiraan falak menggunakan perisian Stellarium oleh Encik Shahrin kita.



 

No comments:

Post a Comment