Friday 22 April 2011

Tips Membeli Binokular untuk Astronomi

Kebanyakan orang yang baru mula menceburi bidang astronomi akan memikirkan peralatan astronomi yang diperlukan untuk mereka mengetahui dengan lebih dalam lagi rahsia langit. Dan kebanyakan mereka akan memilih untuk terus membeli teleskop. Kebiasaanya, selepas selesai menguruskan teleskop dan apabila mereka mula melihat melaluinya, mereka akan kecewa dan hampa kerana orientasi imej yang mengelirukan dan sudut penglihatan yang kecil menyukarkan mereka untuk melihat imej yang diidam-idamkan. Sebagai permulaan, binokular adalah alat yang sangat membantu anda dalam hobi ini. Kepelbagaian binokular di pasaran kadangkala membuatkan kita keliru untuk memilih. Jadi saya akan cuba terangkan serba sedikit apa yang perlu diketahui untuk anda memilih binokular yang baik
1. Pembesaran

Pembesaran (Magnification) sesebuah binokular adalah penting tetapi bukanlah segala-galanya. Ramai tersalah anggap bahawa lebih tinggi kadar pembesaran binokular lebih baik. Hakikatnya, binokular yang mempunyai kadar pembesaran yang tinggi biasanya akan menyebabkan sudut penglihatan binokular itu berkurang dan imej menjadi kelam dan tidak nyata. Ia biasanya dilabel seperti 10x50, 7x50 dan 7x25 dimana 10x dan 7x adalah kadar pembesaran sebanyak 10 kali ganda dan 7 kali ganda lebih dekat dari asal.
2. Diameter lensa objektif (Objective lens diameter)

Juga dirujuk sebagai Aperture. Diameter lensa objektif adalah diameter setiap satu kanta depan (objektif) sesebuah binokular, diukur dalam milimeter. Ia akan dilabel sebagai nombor kedua selepas label pembesaran, sebagai contoh 10x50, dimana 10x adalah pembesaran imej sebanyak 10 kali ganda dan 50 adalah ukuran diameter lensa objektif sebanyak 50mm. Diameter lensa objektif amat mempengaruhi penglihatan. Katakanlah anda mempunyai dua binokular dari kualiti yang sama dan kadar pembesaran yang sama, 8x40 dan 8x25. 8x40 akan menghasilkan imej yang lebih terang dan cerah kerana lebih banyak sinar cahaya yang dihasilkan (exit pupil) keluar dari kanta mata. Tetapi perlu diingatkan, semakin besar saiz kanta objektif semakin berat binokular tersebut. Apabila binokular terlalu berat tripod sangat diperlukan untuk menyokong binokular tersebut.

 
3. Kawasan Penglihatan (Field of View)



Juga boleh dikaitkan dengan sudut penglihatan (Angle of View), kawasan penglihatan juga merupakan salah satu faktor yang membentuk binokular yang sesuai untuk mendapatkan pemerhatian yang memuaskan. Kawasan penglihatan (Field of View) bermaksud luas kawasan yang boleh dilihat menerusi satu-satu binokular. FOV boleh diukur dengan 2 cara, sama ada lebar dalam kaki pada 1000 ela atau dengan menggunakan sudut darjah (Angle of View). Sebagai contoh, binokular 8×42 yang mempunyai Field of View (FOV) sebanyak 107ft/1000yards. Bayangkan anda berada di satu kawasan padang yang mempunyai pagar lebarnya infiniti dari kiri ke kanan kawasan tersebut 1000 ela di hadapan anda. Apabila anda melihat menerusi binokular, anda akan nampak 107 kaki dari pagar tersebut tanpa menggerakkan binokular. Jika FOV 315 feet pada 1000 yards, anda akan nampak 315 kaki panjang pagar (lihat gambar). Kebiasannya ukuran Angle of View lebih senang digunakan untuk tujuan ini.





















































ANGLE OF VIEW

APPROX FIELD OF VIEW

DEGREES

FEET/1,000 YARDS

METRES/l,000M

5

265

88

6

320

107

7

370

123

8

420

140

9

480

160

10

530

177

11

580

193

12

640

214

 
4. Exit Pupil

Jika anda bahagikan saiz diameter lensa objektif dengan kadar pembesaran binokular, anda akan mendapat satu nilai antara 4 hingga 8. Nilai ini dipanggil exit pupil. Exit pupil ialah diameter sinar cahaya yang meninggalkan kanta mata apabila anda memegang binokular dan menumpu ke arah satu sumber cahaya.  Sebagai contoh, binokular 7x50 mempunyai exit pupil lebih kurang 7 milimiter diameternya. Exit pupil sesebuah binokular haruslah sama atau lebih kecil dari anak mata yang telah diadaptasikan dalam gelap. Dengan ini, binokular tersebut akan menghantar semaksimum mungkin jumlah sinar cahaya dan menghasilkan imej yang lebih terang bergantung kepada aperture. Purata orang dewasa mempunyai ukuran anak mata sebanyak 7mm, dan purata itu akan berkurang sehingga 5mm. Jadi untuk mata yang semakin tua, exit pupil juga perlulah dikurangkan untuk mendapat hasil imej yang baik kerana anak mata hanya akan menerima sinar cahaya yang terhasil mengikut diameternya sahaja.

5. Spesifikasi Tambahan

Biasanya binokular juga akan dilabel mengikut abjad-abjad tertentu seperti 10x50 WA. Saya akan terangkan secara ringkas kegunaan abjad-abjad tersebut.

  • Z: Zeiss pattern

  • B atau BL: Bausch & Lomb

  • RP: Roof prism (Dach)

  • M: Micro

  • C: Compact

  • B: Eye Relief (biasanya dilabel rapat seperti 8x30B)

  • A or GA: Rubber armoured

  • W: Wide Angle

  • C: Centre Focusing


Tidak dilupa juga Inter-pupillary Distance iaitu jarak antara dua anak mata. Anda dinasihatkan untuk mengukur dahulu IPD ini kerana tidak semua orang boleh menggunakan binokular. Tipikal IPD untuk seorang dewasa ialah 60 hingga 66 mm dan binokular biasanya diselaraskan untuk mereka yang mempunyai IPD tersebut atau mungkin lebih. Periksa di kedai mata atau rujuk sini untuk mengukur sendiri.

Untuk permulaan astronomi, digalakkan memilih 8x40, 7x50 atau 10x50. FOV yang luas penting supaya kita dapat melihat langit dengan lebih luas. Binokular yang lebih dari 10x50 seperti 10x70, 20x80, dan 25x100 dinasihatkan supaya menggunakan tripod kerana binokular pada kadar itu sudah cukup berat untuk dipegang dengan tangan.

Sebenarnya banyak lagi spesifikasi binokular yang boleh anda tahu tetapi artikel ini hanya memberitahu asas secara umum sahaja. Anda juga boleh mencari kata kunci seperti eye relief, lens coating, twillight factor, focus dan sebagainya di mana-mana enjin carian. 

Selamat menyambut Hari Bumi 2011.




No comments:

Post a Comment