Monday 16 May 2011

Selamat Hari Guru

Hari guru sebenarnya boleh disambut oleh sesiapa sahaja yang boleh digelar guru. Sahabat yang memberi ilmu walaupun sedikit kepada sahabatnya yang lain juga layak digelar guru. Secara umumnya, guru bermaksud orang yang memberi ilmu walaupun sedikit. Dengan cukupnya syarat itu maka seseorang itu layak digelar guru. Masihkah anda teringat bagaimana guru-guru mendidik kita dengan ilmu teori mahupun disiplin? Masih ingatkah kita bagaimana kita mengeji guru-guru yang merotan atau memarahi kita? Guru umpama ibu bapa kita, mereka tahu cara mendidik kita dan mereka perlu dihormati kerana tanpa mereka siapalah kita. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri berguru dengan malaikat Jibril a.s yang mengajar baginda membaca.

Mungkin tanpa guru tinta ini tidak akan tertulis dengan sempurnanya. Hargailah guru kita dengan kejayaan kita, mereka tidak perlukan harta kita, mereka hanya mahu melihat anak didiknya berjaya atas hasil didikannya. Guru tidak pernah menyesal untuk mendidik anak muridnya walaupun sedegil dan seteruk mana anak didiknya itu kerana baginya manusia boleh berubah dengan ilmu yang diamalkan, dan ilmu datang dari seorang guru. Ucaplah terima kasih kepada guru kita apabila menerima keputusan yang cemerlang.

Bukannya susah untuk meluahkan dua perkataan itu, yang penting keikhlasan dan kasih sayang yang diberikan kepada orang yang berjasa kepada kita. Janganlah jadi seperti kacang lupakan kulits seperti apa yang berlaku sebelum ini apabila anak didik sanggup memukul dan mencaci gurunya yang memberinya tunjuk ajar dan ilmu yang sangat berguna. Mereka lupa dan terlalu ego dengan diri mereka. Mereka tidak tahu dunia sebenar. Jika mereka tahu pasti mereka akan menyesal dengan perbuatan mereka. Seorang penuntut ilmu tidak akan berjaya jika pertamanya, dia tidak berani atau tidak pandai mengambil risiko. Dan keduanya, jika tiada keberkatan dari seorang guru. Jadikan satu hari ini hari mereka, berilah kegembiraan kepada mereka, naikkanlah semangat mereka untuk terus mendidik sampai mereka menutup mata mereka. Ucapkanlah 'Selamat Haru Guru' kepada mereka dengan penuh kasih sayang dan buktikan kepada mereka kita boleh berjaya dengan hasil tunjuk ajar mereka.

Selamat Hari Guru.

No comments:

Post a Comment